Home > C. Isu Selangor > Ahli Parlimen BN-UMNO Sabak Bernam dipenjara 6 tahun!

Ahli Parlimen BN-UMNO Sabak Bernam dipenjara 6 tahun!

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 terhadap Anggota Parlimen Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri dan pembantunya Rosli Busro yang didapati bersalah atas lapan pertuduhan melakukan tuntutan palsu melibatkan RM80,000 empat tahun lepas.

Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas menolak rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh pada 1 Mac lepas.

Akhtar turut menolak permohonan Abdul Rahman dan Rosli untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sebaliknya memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Dalam penghakimannya, Akhtar berkata Abdul Rahman menghadapi lapan pertuduhan membuat tuntutan palsu ketika menjadi ADUN Sungai Air Tawar sementara Rosli didakwa bersubahat dengannya melakukan kesemua kesalahan itu.

Beliau berkata peguam perayu berhujah bahawa keterangan dua saksi terpenting dalam kes itu iaitu Mohd Harmizar Sulaiman dan Rizam Ismail tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah atas alasan kedua-dua mereka merupakan rakan sejenayah.

“Saya telah baca keterangan kedua-dua saksi itu dan saya tidak anggap bahawa mereka rakan sejenayah. Mereka lebih merupakan pak turut atau menurut apa-apa yang diminta oleh tertuduh pertama (Abdul Rahman) dan tertuduh kedua (Rosli).

Kalaupun kedua-dua saksi ini dikatakan sebagai rakan sejenayah tetapi keterangan mereka telah disokong oleh keterangan saksi bebas lain.

“Justeru saya berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kesilapan apabila menerima keterangan kedua-dua saksi ini. Jelas daripada keterangan mereka bahawa kedua-dua tertuduh jelas mempunyai niat untuk membuat tuntutan palsu,” katanya.

Akhtar berkata perkara itu terbukti apabila wang yang diterima bukan digunakan untuk program atau aktiviti seperti dalam tuntutan tetapi lebih kepada untuk kegunaan sendiri.

“Peguam tertuduh juga berhujah bahawa tuntutan berkenaan bukan palsu kerana program berikut telah diadakan tetapi bukan di tempat yang dinyatakan seperti dalam tuntutan itu. Bagaimanapun saya lebih cenderung menyatakan ia adalah tuntutan palsu.

“Dalam rayuan ini saya puas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak membuat sebarang kesilapan bila mendapati kedua-dua tertuduh bersalah atas semua tuduhan dan hukuman juga adalah setimpal dengan kesalahan serta jawatan kedua-dua tertuduh. Justeru rayuan terhadap sabitan serta hukuman ditolak dan hukuman dikekalkan,” katanya.

Abdul Rahman dan Rosli diwakili peguam pro-Umno, Muhammad Shafee Abdullah dan Badrul Munir Mohd Bukhari sementara Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Razak Musa dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Zaki Salleh mewakili pihak responden.

Abdul Rahman, 47, didakwa menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat ADUN mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan.

Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cendera mata dan jamuan Program Motivasi Pelajar Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.

Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM10,000 setiap satu.

Abdul Rahman didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Jan dan 12 Feb, 2008.

Bagi setiap pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosli, 44, pula didakwa bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesemua kesalahan itu.

Categories: C. Isu Selangor
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: